Dua pintu masuk utama jalan darat Johor-Singapura ditutup sepenuhnya tengah malam ini

JOHOR BAHRU: Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay memberi kata putus, rakyat Malaysia yang berulang-alik bekerja di Singapura tidak dibenarkan melakukan demikian mulai tengah malam ini.

Dihubungi Astro AWANI berkata, mereka perlu akur dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang akan dikuatkuasakan tepat jam 12 tengah malam ini.

Polis Johor juga akan menempatkan lebih 40 anggota di kedua-dua pintu utama masuk darat membabitkan Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Bukit Chagar dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) , Gelang Patah, mulai tengah malam ini.

Katanya, tiada perjalanan keluar masuk termasuk bagi rakyat Malaysia yang berulang-alik bekerja di Singapura untuk keluar atau masuk ke negara ini selepas tengah malam ini.

Dua pasukan di CIQ BSI dan CIQ KSAB ditempatkan bagi membantu Jabatan Imigresen Malaysia malah anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) bagi membantu kelicinan keputusan yang diambil.

Pada petang Selasa, Datuk Ayob Khan dikatakan menghadiri taklimat khas mengenai Perintah Kawalan Pergerakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum memberikan keputusan mengenai sama ada rakyat Malaysia yang berulang-alik bekerja di Singapura turut dihalang keluar dari negara.

http://www.astroawani.com/berita-malaysia/dua-pintu-masuk-utama-jalan-darat-johor-singapura-ditutup-sepenuhnya-tengah-malam-ini-234062