PETALING JAYA: Kerajaan perlu mengambil langkah drastik untuk melibatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dalam bidang penternakan dan pengeluaran telur ayam untuk keperluan rakyat negara ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, ia bagi memastikan kualiti, kuantiti dan pengeluaran hasil ke tahap optimum selain bekalan terjamin.
Mohd. Yusof berkata, dengan penglibatan GLC dan GLIC, rakyat tidak perlu bimbang tentang harga kerana ekosistem industri dikawal oleh kerajaan bermula daripada membekalkan anak ayam, makanan ternakan, pengangkutan, pemasaran dan sebagainya.
“Sekarang ada laporan tentang bekalan telur di pasaran yang tidak cukup selain harga yang dikatakan agak tinggi berbanding kebiasaannya. Sebelum ini, ia telah berlaku dan kini berulang kembali sehingga meresahkan rakyat sebagai pengguna.
“Kita tidak mahu perkara ini berlarutan lama sehingga November atau Disember kerana, mungkin pada bulan tersebut penggunaan telur ayam akan meningkat terutamanya ketika cuti sekolah, banyak majlis kenduri diadakan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau mengulas jangkaan Malaysia berdepan krisis telur ayam menjelang November dan Disember nanti berikutan bekalan semasa sumber protein itu kini menyusut antara 20 hingga 25 peratus daripada keperluan 30 juta biji sehari sejak dua bulan lalu.
Berdasarkan maklumat pemain-pemain gergasi industri pengeluaran telur, jika tidak ditangani segera, kekurangan bekalan boleh mencecah sehingga 40 peratus dan pengguna akan sukar mendapatkan telur sehingga tempoh sebulan.
Mengulas lanjut, Mohd. Yusof berkata, bagi menyelesaikan perkara itu dalam jangka masa pendek, kerajaan perlu mengaturkan pertemuan dengan pemain industri untuk berbincang dan bertanya apa masalah utama mereka ketika ini bagi menjamin bekalan telur.
“Kita tahu memang ada subsidi yang diberikan kepada pemain industri. Mereka ini juga ‘bijak’ kawal pengeluaran dan sebagainya jika ada yang tidak kena dengan tawaran kerajaan. Jadi perkara ini perlu dibincangkan segera untuk elak pengguna menjadi mangsa.
“Difahamkan, stok telur ayam kurang disebabkan subsidi dan kos pengeluaran yang meningkat. Jadi, mungkin ada elemen yang tidak memuaskan hati pemain industri. Kerajaan juga perlu bertindak segera, cari jalan penyelesaian yang terbaik,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Lembaga Perlindungan dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Dr. Lee Nan Sang berkata, ketika ini memang berlaku kekurangan telur ayam di pasaran terutamanya di kedai runcit dan pasar-pasar kecil.
“Kita tidak mahu masalah lama kekurangan stok telur ayam berulang lagi. Saya sudah pergi ke beberapa kedai dan memang tiada telur ayam khususnya jualan mengikut papan telur (30 biji). Jika pasaraya besar mungkin ada.
“Saya rasa, masalah ini berlaku disebabkan pemain industri tidak berpuas hati dengan kadar bayaran subsidi kepada mereka. Jadi perkara ini perlu diselesaikan segara, mungkin ada perkiraan tertentu yang boleh diubah bagi situasi menang-menang,” katanya.