Info Terkini

Kenyataan Akhbar KPK 24 September 2018 – Larangan Jualan Produk Jus Al Sunnah, Jus Al Sunnah Gold dan Jus Penawar Keluaran Sri Saga Marketing S/B

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan hasil pemantauan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan ke atas produk Jus Al Sunnah, Jus Al Sunnah Gold dan Jus Penawar keluaran syarikat Sri Saga Marketing S/B mendapati syarikat tersebut tidak wujud, di mana ini melanggar Seksyen 16, Akta Makanan 1983. Di samping itu, hasil analisis mengesahkan ada di antara produk tersebut mengandungi dexamethasone dan prednisoloneiaitu bahan steroid yang dilarang di bawah Akta Makanan 1983. Di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983, menyatakan mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda yang tidak melebihi RM 100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya. Sehubungan itu, KKM melarang penjualan JUS AL SUNNAH, JUS AL SUNNAH GOLD DAN JUS PENAWAR yang dikeluarkan oleh syarikat Sri Saga Marketing S/B. Semua peniaga termasuk peniaga atas talian yang masih mempunyai stok produk tersebut diarahkan untuk menghentikan serta-merta penjualan semua produk tersebut dan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat untuk tujuan penyitaan. Dexamethasone dan prednisolone adalah steroid yang poten dan ia digunakan untuk rawatan masalah pembengkakkan dan radang yang serius. Penggunaan dexamethasone dan prednisolone secara berpanjangan tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh mengakibatkan kesan sampingan serius yang boleh membahayakan kesihatan seperti kelemahan otot, kerapuhan tulang, peningkatan gula dalam darah, tekanan darah tinggi, katarak, peningkatan risiko jangkitan dan sindrom cushing. Pesakit yang menghidap kencing manis adalah berisiko tinggi kerana ia boleh menyebabkan paras gula dalam darah tidak terkawal dan seterusnya boleh mengakibatkan komplikasi yang serius. Orang awam yang sedang menggunakan produk-produk ini adalah disarankan supaya SEGERA mendapatkan nasihat serta rawatan dari ahli profesional kesihatan. Pengguna yang telah mengambil produk ini untuk jangkamasa yang lama digesa supaya TIDAK memberhentikan penggunaannya secara mendadak dan turut mendapatkan nasihat serta rawatan dari ahli profesional kesihatan. Ini kerana ini boleh menyebabkan masalah seperti kekeliruan dan penurunan tekanan darah yang boleh membahayakan kesihatan (akibat withdrawal syndrome). KKM ingin menegaskan supaya semua makanan yang dijual di negara ini perlu mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya. Adalah menjadi tanggungjawab pihak terlibat seperti pengilang, pembungkus, pengedar, ejen pemasaran dan penjual untuk memastikan produk makanan yang dijual mematuhi perundangan makanan. KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau hubungi KKM melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.myatau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq. DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA 24 September 2018

Siaran Media Jabatan Kastam Di Raja Malaysia Putrajaya

BILANGAN 2-7 / 2018

PENAFIAN KERETA BIASA TIADA CUKAI JUALAN (SST)

1. Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah muatnaikkan cadangan barangbarang yang dikecualikan daripada cukai jualan pada hari ini, 19 Julai 2018. Barang-barang ini dirujuk kepada kod tarif yang dicadangkan untuk dikecualikan daripada cukai jualan (SST) semasa pelaksanaan SST pada 1 September 2018.

2. Susulan daripada senarai yang dimuatnaik, berita berkaitan dengan kenderaan penumpang bermotor tidak dikenakan cukai jualan telah tersebar luas dan JKDM ingin memberi penjelasan berkaitan perkara ini.

3. JKDM ingin menjelaskan bahawa kenderaan penumpang sememangnya dicadang dikenakan cukai jualan. Walaubagaimanpun ada pihak yang telah salah tafsir senarai yang yang telah dimuatnaik tanpa merujuk kepada JKDM.

4. Barang yang dikecualikan daripada cukai jualan dalam senarai tersebut hanya merujuk kepada komponen yang tercurai bagi pemasangan kenderaan penumpang (Completely Knocked Down –CKD) sahaja. Apabila kenderaan siap dipasang daripada komponen-komponen CKD yang diimport tadi, kenderaan yang telah siap tersebut adalah tertakluk kepada cukai jualan.

5. Dengan penjelasan ini, JKDM berharap isu ini selesai dan tidak mengelirukan rakyat dan pengguna.

Sekian, terima kasih.

###

DATO’ SRI SUBROMANIAM THOLASY
KETUA PENGARAH KASTAM
19 JULAI 2018