PETALING JAYA: Lembaga Pelindung dan Kebajikan Malaysia (LPKPM) berharap Kerajaan Perpaduan yang baru dibentuk dapat membantu rakyat dalam mencukupkan barangan keperluan seperti telur, ayam segar dan lain-lain lagi.

Kerajaan baharu itu juga diminta mengutamakan pasaran domestik berbanding eksport.

Presiden LPKPM, Dr. Lee Nan Sang menyifatkan mesyuarat khas yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama agensi dan jabatan kerajaan mengenai isu kos sara hidup hari ini adalah langkah wajib untuk menangani beban rakyat.

Menurutnya, Perdana Menteri perlu menangani masalah beban rakyat daripada sara hidup yang tinggi pada masa ini kerana rakyat sedang tertekan.

“Walaupun dalam keadaan inflasi sedunia, kita pasti ada cara untuk mengatasinya lagipun negara kita merupakan negara sedang maju dan bidang pertanian, kita masih berada dalam tahap yang bagus.

“Diharapkan Perdana Menteri dapat memberi suntikan yang bagus terhadap bidang ini agar dapat memberi impak positif untuk meringankan sara hidup dan menampung bekalan makanan yang cukup dengan harga berpatutan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Tambah Nan Sang, beliau juga berharap harga barang dapat dikurangkan melalui subsidi bersasar dan dikawal dengan lebih nyata.

Katanya, ini kerana harga yang ditetapkan di pasaran masih boleh dikurangkan di mana pihak tertentu seperti pemborong, pekilang dan peruncit boleh mengurangkan keuntungan mereka.

Beliau juga meletakkan harapan yang tinggi kepada Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri baharu Malaysia supaya dapat memperoleh solusi yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

Terdahulu, Perdana Menteri mengadakan mesyuarat khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Tahun 2022 bersama agensi dan jabatan kerajaan di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya hari ini.

Beliau bagaimanapun, memberi fokus terhadap agihan subsidi bersasar dengan mengecualikan golongan kaya dan industri besar serta memberi tempoh dua minggu kepada semua pihak berkaitan untuk mengkaji semula agihan subsidi di negara ini.

Dalam masa sama, masalah harga barang turut ditekankan oleh PM dan beliau memaklumkan bahawa industri menyediakan bekalan telur ayam yang mencukupi serta akan ditambah dalam masa singkat berikutan isu bekalan telur ayam yang kurang sebelum ini.