PETALING JAYA: Kerajaan sewajarnya mengkaji semula peraturan larangan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah.
Timbalan Presiden Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia (PMPM), Azlin Othman berkata kebenaran daripada pihak sekolah untuk membawa peranti itu pihak amat penting bagi memudahkan ibu bapa berkomunikasi dengan anak-anak selepas tamat sesi persekolahan.
“Membawa dan menggunakan telefon di sekolah dan asrama bukanlah situasi yang hendak dibiasakan untuk anak-anak dan memberi mereka menggunakannya dengan bebas tetapi ia harus dilihat dari sudut kemudahan.
“Menyedari tentang perlunya tindakan efektif untuk kita sama-sama mencapai sasaran masyarakat berkomunikasi secara dasarnya adalah membenarkan aktiviti telefon bimbit bersyarat, dikawal ketat mahupun sekatan waktu terhad di sekolah dan asrama perlu disegerakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pandangan sama dikongsi Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Nusa Sejagat Malaysia, Meor Mohd Hilmi Meor Zainun yang merasakan larangan membawa telefon bimbit perlu dikaji semula kerana kemudahan telefon awam di sekitar sekolah kini semakin terhad.
“Bila keperluan habis waktu sekolah misalnya, asasnya memberi masalah kepada pelajar itu sendiri untuk menghubungi keluarga,” katanya.
Pada masa sama, Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Dr Lee Nan Sang menyatakan pentingnya untuk para pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah pada masa kini.
“Ia juga dapat menjimatkan masa serta memberi perbincangan atau peninjauan yang lebih luas dan mendalam dengan pimpinan guru.
“Seperti mana cadangan untuk mengurangkan isu beg sekolah berat, misalnya sekolah boleh sediakan ‘locker’ atau almari yang berkunci untuk para pelajar menyimpan telefon mereka semasa tidak digunakan,” katanya.
Sementara itu, aktivis sosial, Hanemah Dadameah pula mempersoalkan inisiatif kerajaan beberapa tahun lalu yang memberi bantuan peranti seperti telefon bimbit kepada pelajar dan guru dilihat tidak seiring dengan matlamat.
“Tujuan ini bagi meningkatkan lagi kaedah pengajaran dan pembelajaran malah keperluan penggunaan termasuk di sekolah.
“Jika peranti seperti telefon bimbit tidak dibenarkan, apakah sebenarnya matlamat pengagihan?,” soalnya.
Justeru, beliau berharap pihak berwajib dapat menyediakan garis panduan serta peraturan ketetapan dalam memberi kebenaran membawa telefon bimbit ke sekolah.