PETALING JAYA: Cadangan penyaluran subsidi melalui e-wallet bagi mengatasi isu penyelewengan dan penyeludupan minyak masak peket serta memastikan ia sampai kepada golongan sasar dilihat masih belum efektif.

Presiden Lembaga Perlindungan dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Dr. Lee Nan Sang berkata, meskipun masih di peringkat pertimbangan kerajaan, pihaknya tidak menolak cadangan itu merupakan satu kaedah yang bagus.

Bagaimanapun katanya, cadangan itu masih belum dapat merangkumi semua lapisan golongan sasar secara menyeluruh terutamanya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar, tiada liputan internet dan warga emas.

“Golongan yang berada di luar kawasan bandar dan warga emas terutamanya sudah tentu masih belum handal dalam penggunaan e-wallet.

“Jadi ini satu masalah apabila ia tak sampai kepada semua lapisan masyarakat, maka kerajaan kena memastikan perkara ini sebelum ia hanya khaskan subsidi minyak melalui e-wallet,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai mekanisme yang dipertimbangkan oleh kerajaan bagi mengatasi isu penyelewengan dan penyeludupan minyak masak peket iaitu penyaluran subsidi melalui e-wallet.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, cadangan itu bagaimanapun memerlukan penelitian terperinci dan sinergi antara kementerian berkaitan seperti Kementerian Kewangan kerana ia melibatkan peruntukan sejumlah dana bagi tujuan itu.

Menurut Nan Sang, kerajaan juga boleh mempertimbangkan kaedah pemberian subsidi melalui baucar kepada mana-mana pengguna yang tidak mempunyai e-wallet atau kurang liputan internet.

Katanya, ini bagi memastikan subsidi yang dikhaskan kepada golongan sederhana ke bawah ini dapat dikawal dari sebarang ketirisan dan sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pihak.

“Atau subsidi bantuan minyak peket ini diberi melalui akaun seperti mana bantuan lain yang dimasukkan terus kepada akaun bank.

“Ini kerana kerajaan semestinya mempunyai senarai keluarga tertentu yang layak menerima subsidi minyak masak peket.

“Namun, kementerian harus meninjau secara mendalam perkara ini dan kaedahnya dibuat untuk jangka masa panjang, jangan sekali buat selepas itu tukar lagi, itu satu masalah kepada pengguna,” katanya.

Dalam pada itu, Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, kaedah menghadapi ketirisan dan penyelewengan minyak masak peket perlu difikirkan sedalam-dalamnya.

Katanya, ini berikutan kaedah itu perlu berkesan memitigasi penyelewengan dan penyeludupan, tetapi tidak memberikan kesan kepada golongan sebenar yang perlu dibantu, agar tidak tercicir.

“Bagaimanapun, penggunaan e-wallet dikhuatiri akan menjejaskan golongan yang tiada akses kepada peranti, mahupun jaringan tercicir dari menerima bantuan.

“Namun, jika ia dilaksanakan bersama inisiatif lain, seperti agihan menggunakan amil kariah, lembaga zakat, dan pemimpin komuniti untuk agihan manual, maka Insya Allah dapat berjaya.

“Ia juga harus dikembarkan bersama penguatkuasaan undang-undang secara lebih ketat dan berhemah bagi mengelakkan ketirisan dan penyelewengan minyak masak peket,” katanya.