PETALING JAYA: Walaupun pelbagai pendedahan sudah dibuat, namun penipuan dalam talian masih berleluasa dan ramai anggota masyarakat kehilangan wang simpanan mereka sehingga lebih ratusan ribu ringgit kerana ditipu sindiket.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Lembaga Perlindungan dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Dr. Lee Nan Sang mendedahkan, sejak Januari, terdapat tiga aduan diterima oleh pihaknya.

“Sehingga hari ini, kami sudah menerima tiga aduan berhubung online transfer oleh sindiket dengan memaklumkan kepada pemegang akaun bank diberitahu bahawa akaunnya telah berjaya membuat pemindahan wang sebanyak RM10,000.

“Apabila menerima mesej tersebut, pengguna pun menghubungi pihak bank untuk me­ngatakan mereka tidak melakukan sebarang pemindahan.

“Namun, pihak bank memaklumkan transaksi tersebut sudah dilakukan dan mereka tidak bertanggungjawab atas kerugian tersebut. Ini merupakan perkara yang tidak ada satu solusi munasabah dan adil kepada para pengguna,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, akhbar melaporkan, seorang penjawat awam mendakwa mengalami kerugian sebanyak RM126,588 setelah terperdaya dengan kegiatan Macau Scam baru-baru ini dan terdapat juga laporan dua wanita kerugian RM390,500 diperdaya sindiket sama.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, masalah ini kekal berterusan kerana masyarakat yang memilih untuk menjadi mangsa dengan memekakkan telinga dan membutakan mata selepas pelbagai nasihat diberikan.

Jelasnya, pelbagai nasihat sudah diberikan oleh pihak berkuasa, badan bukan kerajaan (NGO) dan media supaya tidak mendekati dan percaya akan tipu helah sindiket hantu itu tetapi ia seolah-olah tidak diendahkan masyarakat.

“Pengguna seolah-olah meletakkan leher mereka dan me­nunggu untuk dipancung, sedangkan isu ini sudah banyak kali dibahas serta pelbagai nasihat dikeluarkan tetapi masih tidak didengari.

“Pengguna perlu sedar akan penipuan ini dan sentiasa membaca mengenai perkara tersebut supaya tidak ada lagi individu terperangkap dengan penipuan atas talian. Jangan melukakan diri sendiri hingga menyalahkan pihak lain tetapi tidak mahu melihat pada silap sendiri,” ujarnya.